MASA DEPAN PENGGUNAAN ICT DI PRASEKOLAH



PENDAHULUAN
            Pada peringkat awal kanak-kanak, pengalaman mereka mampu mempengaruhi pembelajaran serta perkembangan mereka dan proses perkembangan kanak-kanak adalah berterusan. Oleh itu, penyediaan pengalaman awal kanak-kanak adalah penting dan mereka memerlukan pembelajaran yang terancang, menarik dan relevan dengan perkembangan semasa serta dapat memenuhi keperluan individu kanak-kanak. Selain itu, kita juga perlu mempertimbangkan kemampuan, keupayaan, kebolehan serta kesediaan kanak-kanak mengikut tahap perkembangan mereka.
            Berhubung dengan perkara ini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM 2003), bahagian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan Malaysia menyarankan bahawa salah satu daripada pendekatan yang harus digunakan di Prasekolah dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah pendekatan penggunaan ICT atau pun TMK(Teknologi maklumat dan komunikasi) dan termasuklah pengintegrasian komputer dalam prasekolah. ICT dalam Pendidikan awal kanak-kanak bermaksud penggunaan ICT dalam sesi pengajaran dan pembelajaran secara terancang dan bersesuaian untuk membantu dalam pencarian maklumat dan ilmu pengetahuan serta meningkatkan kecekapan dalam proses dan keberkesanan P&P.
            Dalam kurikulum prasekolah kebangsaan juga telah dinyatakan bahawa penggunaan komputer adalah untuk memperolehi maklumat, berinteraksi dengan rakan sebaya dan memperkayakan pengalaman pembelajaran. Kementerian Pelajaran juga telah berusaha untuk menjayakan rancangan ini dengan membekalkan kelas prasekolah dengan sistem computer dan perisian untuk digunakan oleh pelajar-pelajar prasekolah (Lim Keat Heng, 2007). Sama seperti pengenalan sistem baru dalam kurikulum pembelajaran di sekolah sama ada sekolah rendah atau pun sekolah menengah, penggunaan ICT dalam pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak juga, pada mulanya mendapat pandangan serong daripada para pendidik. Sejak komputer diperkenalkan kepada kanak-kanak di negara barat, para ahli pendidik di situ juga bimbang bahawa penggunaannya boleh mendatangkan kesan yang negatif kepada kanak-kanak. Namun begitu, penggunaan bahan ICT terus digalakkan walaupun perkembangannya agak perlahan. Ini kerana perkembangan semasa terus mengubah pandangan para pendidik tidak kira di mana juga. Guru-guru prasekolah menggunakan kelebihan ICT adalah untuk mencari bahan, maklumat yang dapat membantu mereka dalam sesi pengajaran di sekolah. Terdapat banyak sumber yang mudah didapati dan berguna kepada guru-guru prasekolah. Masa depan penggunaan ICT di prasekolah Malaysia mungkin akan jadi seperti di negara-negara barat. Kebiasaannya negara-negara barat akan melakukan aktiviti seperti nyanyian, mereka akan menggabungkan pembelajaran dengan penggunaan software atau perisian yang sesuai dengan kanak-kanak. Misalnya, Radio Disney Music Mix Studio, di mana mereka boleh mencipta lagu mereka sendiri dan mempelajari tentang pelbagai alat muzik menggunakan perisian tersebut.
            Selain itu, pembelajaran matematik menggunakan perisian Magic School Bus:whale and dolphin dan melaluinya dapat membantu kanak-kanak untuk menyelesaikan masalah. Penggunaan internet juga membantu contohnya laman web PBS menyediakan pembelajaran literasi yang baik untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 8 tahun. Di sini, mereka dapat membaca dan juga mempunyai pelbagai aktiviti. Selain itu,laman National Geographic Kids membekalkan maklumat tentang geografi, penjelajahan,kraf, aktiviti sains untuk kanak-kanak (Doris Bergen,2001).
            Sistem kurikulum prasekolah telah dibina bersesuaian dengan tahap perkembangan dan bersesuaian dengan aspek pembangunan dan kemajuan masa kini. Walaupun kaedah dan sistem yang ada cukup untuk membantu dalam perkembangan pelajar prasekolah dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial namun kelebihan ICT juga amat berguna dan membantu dalam melicinkan lagi proses pembelajaran di prasekolah. Terdapat banyak kepentingan ICT ini termasuklah membantu guru untuk mendapatkan bahan pengajaran dan membantu pelajar untuk menjelajah dunia ICT agar tidak ketinggalan dengan arus pemodenan.

 

 
   
 MASA DEPAN ECE DALAM ICT
            Masa depan penggunaan ICT di prasekolah Malaysia mungkin akan jadi seperti di negara barat, contohnya, pelajar berumur 4 tahun berpeluang untuk melayari laman web sekolah mereka dan memasukkan gambar mereka. Selain itu,mereka juga boleh memasukkan suara mereka sekali. Selain itu, ICT juga dapat meningkatkan pembelajaran secara kolaboratif. Seperti contoh di atas, penggunaan ICT dapat meningkatkan penglibatan pelajar-pelajar dengan aktiviti-aktiviti serta proses pembelajaran melalui “peer group” yang lebih bersifat global.    Selain itu juga, melalui ICT, pelajar-pelajar mudah untuk menghubungi ataupun melibatkan pakar-pakar dari dalam dan luar negara semasa sesi pembelajaran. ICT merupakan sesuatu yang amat luas penggunaannya dan ini memberikan banyak pilihan kepada guru prasekolah dalam merancang pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Antaranya adalah, ICT boleh digunakan untuk pengayaan bagi pelajar yang agak cerdik berbanding dengan pelajar lain supaya mereka tidak merasa bosan dalam kelas dengan memberikan mereka aktiviti yang lebih mencabar minda.
             Selain itu, ICT juga sesuai digunakan untuk pembelajaran yang menjurus kepada penyelesaian masalah kehidupan sebenar. Aktiviti yang berkaitan dengan masa depan juga boleh dibuat serta aktiviti yang berbentuk simulasi. Penggunaan ICT dapat memberi peluang kepada murid untuk menentukan haluan dan kemajuan pembelajaran masing-masing dan mendorong murid terlibat secara lebih aktif dalam pembelajaran. Selain itu dapat memberi peluang kepada murid untuk menangani masalah sebenar di dalam kelas.
            Secara umumnya, ICT berupaya membantu untuk meningkatkan kefahaman serta penguasaan murid terhadap pelajaran yang disampaikan. Selain itu juga dapat memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua murid yang pelbagai keupayaan. Walaupun terdapat pelajar yang agak lemah dalam kelas, namun mereka juga boleh belajar dan menggunakan komputer di kelas. Ini akan sekali gus dapat meningkatkan motivasi mereka sebagai pelajar walaupun lemah dan melatih mereka ke arah pembelajaran individu.
            Masa depan penggunaan ICT di prasekolah Malaysia juga mungkin akan mengamalkan penggunaan internet yang luas. Selain itu juga, dengan adanya internet, pelajar dan guru juga mudah untuk mengakses maklumat yang sukar dicari serta mahal untuk diperolehi. Bukan itu saja, ICT juga membolehkan murid mencuba atau melaksana eksperimen yang sukar, terlalu mahal, mustahil atau bahaya untuk dilaksana dengan cara biasa serta juga dapat meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi pelajar. Penggunaan peralatan ICT seperti komputer amat penting dalam membantu pelajar untuk menjelajah dunia internet dan melalui internet, mereka dapat membuat banyak aktiviti yang melibatkan perkembangan kognitif kanak-kanak.
             Antara kepentingan internet kepada pelajar adalah seperti membantu mereka untuk memperolehi maklumat dan bahan yang mereka sukar dapatkan di sekolah. Selain itu, pelajar juga dapat membuat aktiviti yang melibatkan interaksi dengan pelajar-pelajar lain dari luar negara melalui perkhidmatan internet. Selain itu, mereka juga dapat membuat projek kelas menggunakan komputer dengan bantuan internet.

Dimuat turun daripada :
http://www.scribd.com/doc/101204386/ict-dalam-pendidikan-awal-kanak-kanak#scribd

No comments:

Post a Comment